Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) terus memperkukuh peranan dalam bidang governans dan integriti melalui penglibatan dalam projek rintis Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM). Pelaksanaan SPINE memberi peluang kepada BIGoNS untuk menilai semula pengurusan dalaman secara lebih tersusun, khususnya dalam aspek pengurusan aduan awam, pematuhan undang-undang serta pelaksanaan prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Inisiatif ini seiring dengan visi BIGoNS sebagai pelopor dan penanda aras dalam pengurusan governans, integriti dan antirasuah (GIA) di Malaysia.
Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan pada 26 Jun 2025 telah membuka ruang penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan pelaksanaan sedia ada, termasuk pengurusan risiko integriti dan pematuhan kepada prosedur. Hasil penilaian ini menjadi asas kepada penambahbaikan struktur, memperkukuh fungsi pengawasan dalaman serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan tugas. Langkah ini juga selari dengan misi BIGoNS untuk memastikan tadbir urus negeri dilaksanakan secara cekap dan berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Di dalam perutusan beliau, Puan Samsakiah Jamil selaku Ketua BIGoNS, yang disampaikan oleh Encik Mohd Asril Sharil, Ketua Unit Tadbir Urus dan Pengukuhan Integriti, menegaskan bahawa elemen penilaian SPINE perlu dijadikan rujukan wajib dalam mesyuarat pengurusan dan penilaian prestasi jabatan. Beliau turut menekankan keperluan menjadikan dapatan sesi ini sebagai alat kawal selia dan pemantauan berterusan.
Sesi telah dikendalikan oleh Puan Munah Abdul Aziz dan Encik Abdul Rahman Abdullah dan Encik Nabil Eiman Azman hadir sebagai pemerhati.