#

𝗝𝗔𝗡 𝗣𝗲𝗿𝗸𝘂𝗸𝘂𝗵 𝗞𝗼𝗺𝗶𝘁𝗺𝗲𝗻 𝗜𝗻𝘁𝗲𝗴𝗿𝗶𝘁𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗹𝘂𝗶 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗿𝘁𝗮𝗮𝗻 𝗦𝗣𝗜𝗡𝗘.

25 Mac 2025

Jabatan Audit Negara (JAN) terus memperkukuh komitmennya terhadap integriti dan tadbir urus sektor awam menerusi penyertaan dalam projek perintis Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM). Sebagai antara agensi perintis inisiatif ini, JAN telah melaksanakan penilaian kendiri sebelum mengadakan Sesi Semakan dan Konsultasi Lapangan bersama IIM pada 25 Mac 2025. Sesi tersebut merupakan fasa penting bagi menyemak hasil penilaian serta memantapkan kesiapsiagaan SPINE menjelang peluasan pelaksanaan ke seluruh perkhidmatan awam.

Penyertaan JAN bukan sekadar mencerminkan iltizam terhadap pematuhan Standard Pengauditan Antarabangsa, malah memperkukuh sistem pengurusan kualiti dalaman dan menyokong pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA). Usaha ini turut memberi impak langsung terhadap sasaran peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara menjelang tahun 2033. Sebagai agensi pengaudit utama, keterlibatan aktif JAN mengangkat agenda integriti ke tahap lebih strategik dan menyeluruh dalam landskap tadbir urus sektor awam.

Sesi bersama JAN telah disertai oleh Abdul Rahman Abdullah, Nur Imran Mohd Shaili, Muhammad Khairul Azmir Mohd Paiz dan Nabil Eiman Azman hadir sebagai pemerhati.

Penglibatan ini sekaligus memperkukuh visi JAN untuk terus menjadi sebuah organisasi yang bebas, profesional dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, selaras dengan peranannya dalam memastikan ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan dana awam negara.